Friday 12 February 2016

Bermulanya kisah kami

Bismillahirrohmanirrohim.

Bermulanya kisah hidup kami dengan keriuhan dan tangisan anak-anak penyeri syurga kami. Anak-anak kecil kupantau dan dididik dengan teliti sekali. Bermakna kami tetap ada prinsip dalam berkeluarga. Terima kasih Allah, kerana dengan limpah rahmatmu, semuanya terurus dengan baik . Memang bohonglah, jika kehidupan kami tiada ribut dan badai kan. Dugaan hidup tetap ada, seperti orang lain juga. Mungkin kisah hidupku itu boleh ku siapkan dalam bentuk novel jika perlu. Tetapi ..biarlah kusimpan ketat-ketat memori tersebut dalam kamus hidupku. Semua kisah-kisah pilu telah berlalu dan menjadi khazanah berharga yang tidak perlu kita ungkitkan lagi. Terima kasih sekali lagi, Ya Allah...sesungguhnya Allah Maha Mengasihani lagi Maha Adil.

Berpengalaman mengajar  di kelas-kelas tiusyen, samada di tempat sendiri atau menyewa di tadika-tadika. Kadang-kadang saya  menganjurkan kursus-kursus untuk guru-guru pra-sekolah dengan mencari penulis untuk melatih mereka kaedah cepat membaca, samada dalam bahasa, easy maths mahupun jawi. Bila mengajar di rumah, saya lebih tumpukan pembelajaran secara individu. Jika lebih dari beberapa orang pelajar ,saya tetap akan melatih mereka mengikut tahap masing-masing. Memang matlamat saya pada masa itu, hendak membuktikan anak-anak yang lemah dan lambat di dalam pelajaran, patut diberi peluang untuk belajar dan meraih kejayaan, cuma mereka perlu diberi sedikit masa dan diajar teknik-teknik yang sesuai untuk mereka. Tidak hairanlah, jika pelajar yang datang ke tempat saya, hanyalah pelajar-pelajar 'corot' yang tidak laku di mana-mana pusat tiusyen pada masa itu. Alhamdulillah, setiap tahun, pelajar saya makin bertambah dan tidak pernah pula  berkurang. Ada yang datang dari jauh semata-mata ingin menadah ilmu dari saya.

Syukur, rezeki sangat murah pada masa itu, sehinggalah suami terpaksa ditugaskan ke  negeri Terengganu. Memang hati terasa sedih dan terkilan sangat. Allah dah bagi rezeki, kenapa perlu berpindah, sedangkan itulah titik permulaan kejayaanku. Bukan senang hendak mencari tempat yang sesuai, berdekatan dengan sekolah, jiran tetangga yang baik-baik serta tempat belajar yang mempunyai banyak pilihan. Pelangganku juga sudah agak ramai kerana jika ada masa terluang, saya juga mengambil tempahan menjual kuih muih.

Terkenang kembali kata-kata aruah ayah mentua, ikutlah suami berpindah, jangan dirisau dengan rezeki...orang rajin seperti saya, akan tetap berjaya walau dicampak kat manapun. Allah tetap akan bantu, jika kita berpegang teguh kepada qada'dan qadarnya. Yang penting, kita mesti rajin...Allahuakbar. Kata-kata aruah penguat semangatku pada  waktu itu. Pujukan ibu bapa pelajar serta rayuan dari mereka terpaksa kutepikan dalam kepayahan, walaupun hati ini sangat sedih dan pilu. Sayangku pada pelajar dan 'parent' di situ, tidak bertepi. Kasih sayangku, lillahitaala...




Segalanya bermula di sini.

Ahad, 13 Februari 2016

Bismillahirrohmanirrohim

Assalamualaikum wbt.

Nama diberi, Fadhilah bt Yaacob. Dilahirkan di Kota Bharu tetapi dibesarkan di bandar Kuantan selama 17 tahun. Pernah menetap di Kota Damansara, Selangor selama 16 tahun. Sekarang, menetap di negeri Terengganu, Darul Iman hampir 10 tahun. Dibesarkan didalam keluarga yang besar dan merupakan anak sulung dalam tujuh adik beradik . Mempunyai tujuh orang cahaya mata  membuatkan hidup saya sentiasa sibuk sepanjang masa.

Pengalaman mempunyai adik beradik yang ramai tidak membuatkan saya 'kekok' dalam mendidik anak yang lahir hampir setiap tahun. Berbekalkan ilmu dari orang tua, serta prinsip hidup ciptaan sendiri membuatkan hidup kami berjalan dengan lancar walaupun sudah menempuh pelbagai cabaran hidup. Kami  kutip dan simpan  kenangan pahit manis ini sebagai rempah ratus yang menyemarakkan lagi kehidupan kami. Alhamdulillah, kami tetap bersyukur dengan apa yang ada. Yang penting, kita pandai membawa diri dan teruskan hidup dengan lebih baik.

Mempunyai pengalaman bekerja di Kota Bharu dan di Kuala Lumpur. Tekad berhenti kerja bila mendapat anak sulung. Seronok bila dapat menjadi suri rumah kerana pada masa itu, saya sudah niatkan dalam hati untuk mendidik anak sendiri sebaik mungkin serta dapat menjana duit sendiri di rumah. Pada masa itu, saya mempunyai banyak masa untuk mengkaji apa jua bentuk hobi serta perniagaan jangka pendek dan jangka panjang untuk dilakukan. Surat khabar dan majalah menjadi rujukan setiap hari. Pendek kata, apa juga bentuk iklan, ku gunting dan ditampal di dalam dairi untuk rujukan kendian hari.

Majalah kegemaran waktu itu hanyalah berbentuk pendidikan berkenaan keibu bapaan dan penjagaan anak. Tidak pernah 'miss' melanggan majalah kegemaranku sehingga hari ini. Itulah sahaja peneman diwaktu duka dan lara serta penyembuh di waktu sukar. Pandai pula memikirkan dan menyelesaikan setiap permasalahan, maklum ayah dan ibu jauh di mata. Takkan ku bebankan dengan masalah derita kita pada waktu itu. Adik-adik penawar duka serta penunggu setia.

Bila masuk anak keempat, saya mula berjinak-jinak dengan kursus-kursus 'parenting' serta kaedah-kaedah untuk anak cepat belajar membaca dan sebagainya. Sebenarnya segala buku-buku dan alatan lain sudah kusiapkan sebelum kami mempunyai anak lagi. Suami tidak berkata apa-apa, kerana saya memang minatkan buku-buku dan majalah sejak dari remaja lagi.

Saya mula 'excited' untuk terlibat dalam bidang pendidikan ini bila anak sulung tidak dapat membaca sedangkan waktu tu kami sudah masukkan dia ke tadika. Setengah tahun belajar, masih tak tahu apa-apa. Dengan usaha dan ikhtiar sendiri, saya belikan buku 'Bacalah Anakku' dan akhirnya anak kami dapat membaca dan mengeja dalam masa dua minggu sahaja. Bangga sangat kami pada waktu tu. Bermula dari saat itu, saya memasang azam untuk mengajar dan medidik anak sendiri sebelum masuk ke tahun satu. Bermakna anak kami tidak belajar di tadika. Untuk perkembangan lain, kami cuba hidupkan semuanya di rumah. Segalanya bermula di sini...