Friday 12 February 2016

Segalanya bermula di sini.

Ahad, 13 Februari 2016

Bismillahirrohmanirrohim

Assalamualaikum wbt.

Nama diberi, Fadhilah bt Yaacob. Dilahirkan di Kota Bharu tetapi dibesarkan di bandar Kuantan selama 17 tahun. Pernah menetap di Kota Damansara, Selangor selama 16 tahun. Sekarang, menetap di negeri Terengganu, Darul Iman hampir 10 tahun. Dibesarkan didalam keluarga yang besar dan merupakan anak sulung dalam tujuh adik beradik . Mempunyai tujuh orang cahaya mata  membuatkan hidup saya sentiasa sibuk sepanjang masa.

Pengalaman mempunyai adik beradik yang ramai tidak membuatkan saya 'kekok' dalam mendidik anak yang lahir hampir setiap tahun. Berbekalkan ilmu dari orang tua, serta prinsip hidup ciptaan sendiri membuatkan hidup kami berjalan dengan lancar walaupun sudah menempuh pelbagai cabaran hidup. Kami  kutip dan simpan  kenangan pahit manis ini sebagai rempah ratus yang menyemarakkan lagi kehidupan kami. Alhamdulillah, kami tetap bersyukur dengan apa yang ada. Yang penting, kita pandai membawa diri dan teruskan hidup dengan lebih baik.

Mempunyai pengalaman bekerja di Kota Bharu dan di Kuala Lumpur. Tekad berhenti kerja bila mendapat anak sulung. Seronok bila dapat menjadi suri rumah kerana pada masa itu, saya sudah niatkan dalam hati untuk mendidik anak sendiri sebaik mungkin serta dapat menjana duit sendiri di rumah. Pada masa itu, saya mempunyai banyak masa untuk mengkaji apa jua bentuk hobi serta perniagaan jangka pendek dan jangka panjang untuk dilakukan. Surat khabar dan majalah menjadi rujukan setiap hari. Pendek kata, apa juga bentuk iklan, ku gunting dan ditampal di dalam dairi untuk rujukan kendian hari.

Majalah kegemaran waktu itu hanyalah berbentuk pendidikan berkenaan keibu bapaan dan penjagaan anak. Tidak pernah 'miss' melanggan majalah kegemaranku sehingga hari ini. Itulah sahaja peneman diwaktu duka dan lara serta penyembuh di waktu sukar. Pandai pula memikirkan dan menyelesaikan setiap permasalahan, maklum ayah dan ibu jauh di mata. Takkan ku bebankan dengan masalah derita kita pada waktu itu. Adik-adik penawar duka serta penunggu setia.

Bila masuk anak keempat, saya mula berjinak-jinak dengan kursus-kursus 'parenting' serta kaedah-kaedah untuk anak cepat belajar membaca dan sebagainya. Sebenarnya segala buku-buku dan alatan lain sudah kusiapkan sebelum kami mempunyai anak lagi. Suami tidak berkata apa-apa, kerana saya memang minatkan buku-buku dan majalah sejak dari remaja lagi.

Saya mula 'excited' untuk terlibat dalam bidang pendidikan ini bila anak sulung tidak dapat membaca sedangkan waktu tu kami sudah masukkan dia ke tadika. Setengah tahun belajar, masih tak tahu apa-apa. Dengan usaha dan ikhtiar sendiri, saya belikan buku 'Bacalah Anakku' dan akhirnya anak kami dapat membaca dan mengeja dalam masa dua minggu sahaja. Bangga sangat kami pada waktu tu. Bermula dari saat itu, saya memasang azam untuk mengajar dan medidik anak sendiri sebelum masuk ke tahun satu. Bermakna anak kami tidak belajar di tadika. Untuk perkembangan lain, kami cuba hidupkan semuanya di rumah. Segalanya bermula di sini...

0 comments:

Post a Comment